Tuesday, March 4, 2008

"Bimbing remaja telusuri proses demokrasi negara"

oleh :Saudara Syafiq
Jordan.

TANGGAL 8 Mac ini seluruh rakyat
Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi
bakal menunaikan tanggungjawab mereka
dalam pilihan raya umum ke-12.
Proses penamaan calon telah dijalankan
dan kini telah bermulanya kempen dengan
poster, sepanduk dan bendera terpasang
di merata-rata tempat.
Namun dalam kehangatan gelombang kempen
pilihan raya yang berlaku, masih
kedapatan sesetengah pihak yang tidak
mengendahkan perkembangan tersebut.
Menariknya, pernah dilaporkan sebelum
ini bahawa sebanyak 70 peratus daripada
4.9 juta rakyat Malaysia yang layak
mengundi tetapi tidak mendaftarkan diri
adalah golongan belia dalam lingkungan
usia 21-30 tahun.
Dalam menyoroti perkembangan tersebut
membuatkan kita sedikit gusar berkenaan
sejauh mana kepedulian generasi muda
hari ini terhadap hal ehwal pentadbiran
negara.
Maka, timbul persoalan apakah faktor
yang menyebabkan kurangnya minat
sesetengah remaja untuk mengikuti
perkembangan pilihan raya umum di negara
kita.
Ada segelintir yang menganggap isu
pilihan raya sebagai satu isu yang berat
dan tidak ada kena mengena dengan
mereka. Golongan sedemikian mungkin
hanya menggemari isu-isu santai seperti
hiburan, sukan dan sebagainya.
Akhirnya golongan sedemikian mengambil
jalan mudah dengan hanya menerima apa
yang mampu memuaskan hati mereka dan
dapat menyokong apa yang mereka sukai
selama ini.
Ada juga yang menanggapi demokrasi
sebagai satu utopia yang begitu sukar
dicapai kerana dirasakan terlalu ideal
dan tidak realistik dalam keadaan negara
membangun, apatah lagi dengan masyarakat
majmuk. Namun ternyata, setakat ini kita
mampu mewujudkan sistem demokrasi yang
menurut acuan kita sendiri serta
bersesuaian dengan iklim sosial
masyarakat setempat.
Kepimpinan Melalui Teladan
Rakyat mendambakan kepimpinan yang
beramanah, adil serta bijaksana. Dalam
konteks negara Malaysia, pemimpin harus
mempunyai upaya untuk mewujudkan
kepimpinan teras yang bukan sahaja mampu
membangun masyarakatnya yang majmuk
tetapi juga mampu menjadi sumber teladan
dan contoh kepada orang lain.
Kepimpinan dalam konteks masa kini
menuntut kebijaksanaan serta keupayaan
yang dinamik untuk mengolah penyelesaian
kepada permasalahan globalisasi yang
semakin menghimpit umat Islam masa kini.
Maka, pengikut atau penyokong bukanlah
sekadar memilih pemimpin, tetapi juga
membantu untuk melakukan perubahan
(islah). Sifat islah adalah sangat perlu
dalam merungkai permasalahan umat secara
holistik dan profesional.
Menampilkan pemimpin yang diinginkan
oleh rakyat bukanlah tugas sehari dua.
Ia menuntut banyak proses pembelajaran
dan pengalaman. Kepimpinan bukan sekadar
mempunyai ijazah dan sarjana, tetapi
merangkumi lebih daripada itu.
Ini kerana pengikut yang arif merasakan
wibawa kepimpinan amat penting dalam
menempatkan diri di gelanggang
kepimpinan. Ia merujuk kepada asas
keilmuan yang baik, memiliki akhlak
contoh, keupayaan menawarkan khidmat
yang terbaik dan mampu memikir dan
mencari pendekatan terhadap masalah
kepimpinan dan kepengikutan dengan
bijaksana.
Dalam konteks remaja masa kini, pemimpin
harus berusaha mengubati kelesuan
respons golongan belia dalam isu-isu
masa kini. Mereka harus mengolah cara
dan upaya agar remaja lebih kritikal,
prihatin serta dapat membina
akauntabiliti sendiri dalam menghadapi
cabaran semasa.
Kepimpinan umat Islam yang terdiri
daripada orang yang mempunyai asas ilmu
yang kukuh, daya profesionalisme yang
tinggi, upaya strategik yang merintis ke
arah kebijaksanaan, keramahan dalam
memberi daya kepimpinan akan mampu
memikat perhatian orang lain. Sebabnya,
pada asasnya isu di kalangan rakyat
adalah asas-asas tentang hak untuk hidup
dan bekerja, hak untuk diberi khidmat
yang saksama dan hak untuk bersuara
dalam lingkungan yang dibenarkan.
Kepimpinan umat Islam yang menjadi teras
kepimpinan di Malaysia seharusnya mampu
mencerminkan wibawa yang lebih jelas
supaya syak-wasangka dan konflik dapat
dielakkan. Dalam tradisi Islam,
kepimpinan adalah amanah yang menuntut
nilai-nilai yang Islami menjadi faktor
yang dapat diterima.
Peranan Sebagai Pelapis
Remaja perlu menyedari mereka adalah
generasi pelapis yang bakal mewarisi
pemerintahan negara pada masa hadapan.
Maka remaja perlu turut serta dalam
proses pilihan raya agar dapat turut
memahami pola serta perjalanan politik
negara.
Sekiranya remaja melihat terdapatnya
ruang untuk peningkatan, maka di sini
remaja perlu berperanan
merealisasikannya, yakni salah satunya
adalah melalui penunaian hak mengundi.
Penglibatan remaja melalui aktiviti
pengundian merupakan satu cara untuk
mempraktikkan hak serta amanah sebagai
warganegara dalam memastikan
kelangsungan terhadap pembelaan bangsa,
agama dan negara.
Di kolej atau di universiti juga telah
bermula penerapan demokrasi menerusi
kegiatan pilihan raya kampus yang
diadakan setiap tahun bagi memilih
kepimpinan pelajar. Peluang memimpin
perwakilan pelajar membantu mengasah
bakat kepimpinan mahasiswa serta membela
kepentingan pelajar.
Sistem demokrasi di kampus juga
berpotensi menjadi medan latihan untuk
golongan mahasiswa dalam mendepani
cabaran politik pada skala kecil. Namun
pada masa yang sama perlu ada bimbingan,
kawalan serta penerusan dalam pengamalan
sistem tersebut bagi menjamin kewibawaan
memimpin selari dengan kecemerlangan
akademik.
Kesimpulan
Sistem demokrasi hadir dengan pelbagai
cabaran yang menuntut kepada
kebijaksanaan menginterpretasikan
tuntutan adab, akhlak dan muamalat ke
arah kemaslahatan umat Islam serta
seluruh rakyat di negara ini.
Sebaik-baiknya apa yang berlaku dalam
proses pilihan raya masa kini dijadikan
sebagai satu proses pendidikan buat
remaja untuk bekalan masa depan. Perkara
yang baik perlu dijadikan tauladan,
manakala perkara yang mungkin agak
kurang baik pula dijadikan pengajaran
serta sempadan.

No comments: