Tuesday, March 4, 2008

"Politik dalam ISLAM.."

oleh : Saudara Syafiq
Jordan.



Politik didasari nilai Islam wujud
kepemimpinan adil, unggul
POLITIK antara bidang kehidupan manusia
yang turut diberi perhatian Islam supaya
umat manusia dapat menjadikan saluran
politik sebagai wadah ke arah
keharmonian dan kesejahteraan hidup umat
sejagat.

Islam bukan sekadar urusan ritual dan
individu yang berkaitan hubungan dengan
Allah semata-mata, malah ia turut
mencakupi hubungan sesama manusia dalam
pelbagai lapangan hidup seperti ekonomi,
politik, sosial dan sebagainya.

Pendapat menyatakan politik itu bukan
daripada Islam adalah tidak benar.
Begitu juga salah pandangan yang
mengatakan agama hanyalah urusan ritual
atau ibadat saja, manakala politik pula
adalah urusan kenegaraan dan keduniaan.

Kenyataan di atas jelas berlaku
pemisahan antara Islam dan politik dan
inilah dianggap ulama Islam sebagai
sekularisme.

Sehubungan itu, Prof Dr Syed Muhammad
Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dan
Sekularisme menegaskan bahawa
sekularisme adalah suatu fahaman
bersifat antiagama dan anti Tuhan. Dalam
sejarah perjalanan sejarah moden dunia,
fahaman sekularisme tajaan Barat moden
sudah berjaya mensekularisasikan seluruh
pelosok dunia, termasuk dunia Islam.

Ringkasnya, proses sekularisasi itu
sebenarnya tidak lain daripada proses
pembebasan manusia daripada kongkongan
agama dan kawalan metafizik.
Perlu ditegaskan, peradaban Barat moden
yang melanda umat Islam itu membawa
semangat, fahaman, idea dan pandangan
dunia yang amat tidak serasi dengan
pandangan dunia serta matlamat peradaban
Islam. Peradaban Barat moden
mengetepikan Tuhan dan memberikan
penghormatan tinggi kepada kebendaan.

Dalam kata lain, peradaban Barat moden
adalah peradaban yang lebih mementingkan
unsur individualistik dalam gaya hidup
kerana ia juga bertunjang fahaman
materialistik iaitu suatu fahaman dan
sikap hidup yang memberikan tumpuan
kepada usaha mencari kenikmatan
kebendaan, sikap bermati-matian dalam
kebendaan, sikap percaya kepada
kebendaan saja dan menolak segala nilai
luhur lain.

Di samping itu, peradaban Barat moden
juga di dominasi fahaman sekular.
Fahaman itu lazimnya merujuk kepada satu
sikap kecenderungan menganggap sepi
terhadap Tuhan dan semua persoalan serta
kegiatan keagamaan disebabkan kesibukan
hal duniawi hingga tidak sempat berfikir
mengenai hal ukhrawi.

Selanjutnya, pengaruh sekularisme ini
menjalar dalam aspek politik umat Islam
sehingga tercipta satu gagasan utama
dalam perjuangan politik masa kini iaitu
kekuasaan adalah segala-galanya. Ini
bermakna untuk mendapatkan kekuasaan,
apa juga cara boleh dilakukan hatta
dengan tindakan tidak berperikemanusiaan
yang bercanggah dengan ajaran Islam
sekalipun.
Gagasan itu akhirnya menghasilkan
ungkapan masyhur dalam kehidupan umat
Islam iaitu ‘tujuan menghalalkan cara’.
Prinsip itu jelas bercanggah dengan
ajaran Islam. Menurut perspektif Islam,
tujuan tidak menghalalkan cara.

Malah, tujuan dan cara dua perkara yang
berbeza antara satu sama lain. Sebab
itulah lahir satu prinsip dalam ilmu
kaedah usul fiqh yang diguna pakai oleh
ulama iaitu ‘tujuan tidak menghalalkan
cara’.

Prinsip ini bermaksud setiap amalan
mesti didahului dengan niat betul.
Kemudian, cara pelaksanaannya pula mesti
berlandaskan syariah Islam. Dengan ini,
barulah sesuatu amalan dilakukan itu
dinilai sebagai amalan baik dan
diberikan ganjaran Allah.

Sebaliknya, jika cara pelaksanaannya
tidak mengikut lunas Islam walaupun
tujuannya baik, maka amalannya itu tetap
dinilai haram di sisi Islam. Jelas di
sini, politik tidak dapat dipisahkan
daripada Islam. Nilai agama sepatutnya
mendasari perjalanan arena politik umat
Islam.

Dengan kata lain, politik pada
hakikatnya adalah satu saluran atau
wadah yang membawa umat Islam ke arah
matlamat disasarkan. Jadi, politik yang
didasari atas landasan agama inilah
dianjurkan Islam, bukan politik yang
mendasari agama.

Jika agama disesuaikan menurut cita rasa
politik, maka akan berlaku pertelagahan,
perpecahan dan akhirnya kehancuran umat
seperti banyak berlaku dalam kehidupan
umat Islam dewasa ini.

Perlu ditegaskan, politik yang
berpaksikan Islam akan melahirkan suatu
corak kepemimpinan yang adil lagi unggul
seperti mana yang pernah ditunjukkan
Rasulullah SAW dan khalifah al-Rasyidin.
Bukankah Rasulullah pernah menjadi
pemimpin ketika menerajui kerajaan Islam
Madinah.

Rasulullah SAW berjaya membentuk negara
yang aman damai dan harmoni terdiri
daripada masyarakat majmuk pelbagai
bangsa, agama dan etnik di bawah
peruntukan perlembagaan Piagam Madinah.





Kepemimpinan Rasulullah SAW dan generasi
sahabat selepasnya sepatutnya dijadikan
sumber rujukan umat Islam kini.

No comments: